Nama pelakon Miera Liyana, 21, seringkali dikaitkan
dengan imej seksi dan menjolok mata. Walaupun kini Miera lebih bijak
menjaga pemakaiannya agar nampak lebih sopan, gadis itu sekali lagi
membuat kejutan apabila dia berbikini dan melakonkan aksi di atas
ranjang dalam filem terbarunya, ‘Dendam Orang Mati’.
Bagaimanapun Miera menjelaskan bahawa penggambaran filem tersebut
sudah dijalankan sejak dua tahun lepas, seiring dengan kontroversi yang
menghimpit dirinya apabila dia berpakaian yang memperlihatkan sebahagian
payudaranya dalam satu majlis anugerah.
“Waktu itu saya masih baru dalam industri dan ketika saya menerima
tawaran tersebut, saya tolak tepi tentang babak yang mungkin mencetuskan
kontroversi itu. Apa yang saya fikir ketika itu, saya dapat berlakon
dengan Lisa Surihani dan Fizz Fairuz dan pasti saya dapat belajar banyak
perkara dari dua pelakon hebat ini,” kata Miera ketika ditemui di
majlis tayangan perdana filem tersebut pada Rabu.
Tambah Miera, dia sudah berbincang dengan pengarah, Jason Chong
terlebih dahulu sebelum melakonkan babak-babak tersebut dan Jason
meyakinkannya bahawa babak tersebut akan melalui proses suntingan dan
‘camera trick’.
“Mula-mula risau juga dengan hasil babak tersebut. Tapi saya yakin
dengan Jason dan dia tahu apa yang dia lakukan. Bila saya tonton
hasilnya, saya rasa lega kerana ia tidak keterlaluan,” kata Miera yang
menganggap babak tersebut dilakonkan semata-mata memenuhi kehendak watak
dan demi menimba pengalaman.
“Bagi Miera ini semua pengalaman dan daripada pengalaman, saya
belajar. Saya dah pernah lakonkan babak sebegitu, maka itu kali pertama
dan terakhir saya lakukannya. Selepas ini saya akan lebih memilih watak
dan skrip yang baik,” kata Miera.
Dalam filem terbaru terbitan KRU Studios ini, Miera memegang watak
Min, isteri kedua Shahrul (Fizz Fairuz) yang merampas Shahrul dari Lena
(Lisa Surihani) ketika Lena masih koma dan terlantar di hospital.
‘Dendam Orang Mati’ akan mula ditayangkan di pawagam bermula 23 Oktober
depan.