Wednesday, 16 October 2013

Jangan hina orang obes - Syarul Ridzwan



SEMASA masih di bangku sekolah, Mohd. Saharul Ridzwan Hashim pelakon yang sedang hangat dalam drama Love You Mr Arrogant ini sering diejek rakan gara-gara memiliki susuk badan yang gempal. Bukan sahaja diejek, malah dia juga disisihkan.Pada masa itu Saharul atau lebih senang membahasakan diri sebagai Syarul minat dalam sukan bola keranjang. Dia sering direndah-rendahkan kerana fizikalnya itu.
“Saya tidak mendapat galakan apabila masuk gelanggang bola keranjang. Saya dikatakan membuat perkara sia-sia dan tidak akan berjaya kerana berbadan gemuk.

“Saya juga payah nak dapat kawan kerana badan. Saya naik malu kerana asyik diejek sahaja oleh orang sekeliling, sebab itu saya bernekad untuk mengurangkan berat badan. Saya meninggalkan nasi dan diganti dengan makanan lain. Sampai satu tahap saya jadi fobia dengan makanan. Akibatnya semasa meningkat remaja saya jadi terlalu kurus pula.

“Baru dua tahun kebelakangan ini saya mula berjinak-jinak dengan gimnasium sehingga memiliki badan seperti hari ini,” kata Syarul pasal perubahan susuk tubuhnya.
Syarul juga berharap seseorang yang lebih sempurna sifat tidak harus memandang rendah dan menghina orang yang berisi kerana ia boleh memberikan kesan negatif.
Hasil aktiviti di gimnasium dia mendapat peluang mencuba peragaan sejak tiga bulan lalu. 

Lakonan
Namun dia tidak berhasrat menjadi pelakon kerana menyedari dia tidak berbakat dalam lakonan. Kalau sekadar beraksi di depan kamera tanpa bercakap tidak menjadi masalah.
“Saya pernah juga cuba jadi pelakon tambahan, tapi saya tak rasa boleh meneruskannya ke peringkat lebih jauh. Saya kekok dalam set drama,” katanya yang memiliki wajah sedikit iras pelakon popular Aaron Aziz.
Syarul juga pernah mendengar orang membandingkan dirinya dengan Aaron, tapi dia sendiri tak tahu dimanakah persamaan mereka.

“Aaron jauh lebih tampan daripada saya,” katanya yang sedang menunggu peluang memasuki alam pekerjaan dalam bidang juruteknik penyelenggaraan pesawat.
Syarul memiliki diploma dalam bidang kejuruteraan penyelenggaraan pesawat di sebuah kolej penerbangan di Negeri Sembilan. Sekarang dia sedang menunggu panggilan bekerja.
“Saya sudah menghadiri temuduga di sebuah syarikat penerbangan dan jawapannya akan diketahui dalam masa terdekat. Saya pernah juga bercita-cita nak jadi pilot, tapi dek kerana rabun jauh, saya tak layak mengikuti kursus menjadi juruterbang,” jelas Syarul lagi.

1 comment:

farhah said...

Saya minat sangat kat dia tauuu ! Hensem lah dalam lyma . Psycho habis !