Monday, 30 December 2013

Terlerai Akhirnya

"KU sangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari.." Perumpamaan ini barangkali sesuai untuk menggambarkan perkahwinan beberapa selebriti tanah air yang berakhir dengan penceraian.

Biarpun tiada siapa yang mengharapkan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta akan terlerai akhirnya, namun siapalah kita untuk melawan suratan.
Mari kita lihat antara selebriti yang bercerai bagi 2013.

Rita Rudaini 

Selepas hampir dua tahun prosiding perceraian dibicarakan, Aidil Zafuan telah menceraikan Rita Rudaini Mokhtar, 37, dengan talak satu.

Biarpun telah bercerai, konflik mereka dilihat masih berterusan apabila Rita kini menuntut nafkah yang sepatutnya daripada Aidil.

Enot

Dikhabarkan Enot telah memfailkan perceraian terhadap suaminya di Jabatan Agama Islam Kajang, Selangor, setelah diibaratkan digantung tidak bertali. Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah mendirikan rumah tangga pada 21 November 2008.

Sebelum itu, Enot juga pernah berkahwin dengan seorang lelaki dan bercerai pada 2008. Hasil perkahwinan tersebut, Enot dikurniakan dua anak iaitu Andria Balqis, 12 dan Ariana Qaseh Qistina, 6.

Benjy

Pelakon yang mencetuskan kontroversi kerana pernah didakwa atas tuduhan kes dadah, Khaery Benjamin atau Benjy sah bercerai talak satu dengan isterinya Safiya Stephanie Kar-Leng Lee di Mahkamah Rendah Syariah.

Perceraian ini adalah kali kedua selepas pasangan itu bercerai dan rujuk semula lima tahun lalu. Mereka mendirikan rumah tangga sejak 2004 dan dikurniakan seorang anak lelaki berusia 7 tahun.

A. Aida

Pelakon dan penerbit A.Aida telah bercerai dengan suaminya Deputi Superintendan (DSP)  Suffian Sulaiman dengan talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 2 Mei lalu.

Pasangan itu bercerai secara baik dan bersetuju  menjaga anak tunggal bersama, namun hak jagaan kekal diberikan kepada Aida.

Aida dan Sufian bernikah pada 20 April 2007 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rahul, 4.

Noniswara

Ikatan perkahwinan yang dibina selama lima tahun antara Noniswara dan Datuk Rosman terputus di tengah jalan apabila pasangan ini bercerai secara taklik.

Nonis membuat tuntutan cerai selepas suaminya meninggalkan rumah kelamin sejak 5 September 2012 selain tidak memberi nafkah.

Pelakon berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya dan Rosman pula yang sebelum ini berstatus duda mempunyai lima anak daripada perkahwinan terdahulu.

Zahnita

Model terkenal Zahnita Dorothy Hussein Wilson mengakui yang beliau sudah memfailkan tuntutan tuntutan fasakh untuk bercerai dengan suaminya, Abdul Zackery Ghouse Abdul Ghafoor pada 18 November lalu selepas lapan tahun berkahwin.

Mengakui rumah tangganya bergolak semenjak penghujung 2011, Zahnita dan suami telah menghadiri kaunseling sebagai langkah untuk menjernihkan keadaan. Namun, sayangnya semua usaha itu tidak berjaya.-SinarHarian-

2 comments:

Ainim Rashihah said...

oh..no komen

Dzureen Darwis said...

semoga artis yg bru kawin ni berkekalan lah