Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Muhammad Amirul Haikal Mohd Nor, 6, dipercayai sedang duduk bersembang bersama lima sepupunya di kawasan terbabit sebelum serpihan dinding berukuran dua meter jatuh menimpa mangsa.
Menurut ibu saudaranya, Fadzilah Mahmad Wi, 35, dia ketika itu duduk di muka pintu rumah keluarga Muhammad Amirul Haikal dan hanya memerhatikan gelagat mangsa bersama sepupunya bersembang di kawasan rumah terbakar yang juga kediaman nenek mangsa sebelum ini.
"Tiba-tiba serpihan dinding, kesan rumah ibu yang terbakar empat tahun lalu, jatuh menimpa kepala serta badan Muhammad Amirul Haikal.
“Saya tidak sempat buat apa-apa kerana tergamam melihat kejadian berlaku betul-betul di depan mata dan saya hanya mampu menjerit meminta tolong selamatkan dia daripada runtuhan dinding itu,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa, semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku sekelip mata dan dia hampir pengsan melihat keadaan mangsa yang berlumuran darah di kepala, telinga dan hidung.
Muhammad Amirul Haikal langsung tidak menangis dan tidak memberi tindak balas selepas dihempap runtuhan itu.
“Tidak sangka kejadian ini pula yang berlaku. Majlis untuk Maulidur Rasul yang sepatutnya diadakan semalam bertukar hiba dengan majlis tahlil,” katanya.
Dalam pada itu, Fadzilah berkata, ketika kejadian, bapa mangsa, Mohd Nor Mahmad Wi, 37, sedang berbual dengan jiran berdekatan.
Menurutnya, selepas melihat kejadian menimpa anak sulungnya itu, Mohd Nor terus merangkul tubuh mangsa yang berlumuran darah untuk dibawa ke hospital.
Sebelum kejadian, hampir semua keluarga sedang sibuk berkumpul di rumah adik Mohd Nor untuk menganjurkan majlis Maulidur Rasul dan mengadakan kenduri doa selamat.
"Majlis ini berikutan ibu, Halimah@Fatimah Salleh, 68, yang tinggal bersama dua cucu termasuk mangsa, ibu mangsa, Suhaini Ibrahim, 28, dan adik mangsa, Muhammad Danish, 3, berpindah ke rumah berkenaan yang juga kediaman Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak dua minggu lalu," katanya.
Suhaini berkata, tiga hari sebelum kejadian, mangsa bermimpi sesuatu yang mengerikan namun hanya bangun basuh kaki dan tidur semula.
“Dia ada mimpi takut katanya, tetapi tidak menyatakan tentang mimpinya itu, sebaliknya mendiamkan diri sahaja dan kelakuannya berubah apabila selera makannya juga turut bertambah.
“Saya redha dengan apa yang berlaku ini. Saya mendoakan agar dirinya dicucuri rahmat dan rohnya tenang di sana,” katanya dalam nada sebak.
Jenazah Allahyarham Muhammad Amirul Haikal selamat dikebumikan di Tanah perkuburan Kampung Neting, kira-kira jam 1 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas mengalami kecederaan parah dan pendarahan di otak.
2 comments:
salam takziah buat keluarga arwah.. sedih dgr cerite2 mcm nie..
salam takziah dan al-fatihah...malang tidak berbau...
Post a Comment