Wednesday, 25 June 2014

MH370: Isteri Kapten Zaharie Akhirnya Bersuara



Isteri Kapten Zaharie

Lebih tiga bulan selepas kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, isteri juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah akhirnya bersuara.
 Faizah Khan memberitahu dua wartawan New Zealand yang menulis buku berkenaan kapal terbang hilang itu, suara semasa ucapan terakhir dari penerbangan itu adalah milik suaminya Zaharie, lapor akhbar harian di United Kingdom, The Telegraph hari ini.

Beliau berkata anak sulungnya mengenal pasti suara yang mengeluarkan kata-kata “sign-off” akhir adalah bapanya.

Pada mulanya didedahkan para pegawai Malaysia sehari selepas kehilangan penerbangan MH370 bahawa kata-kata akhir dari kokpit adalah “Allright, goodnight”, dan ia dikatakan oleh pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid.

Bagaimanapun pada 31 Mac, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mendedahkan kata-kata terakhir “Selamat malam Malaysia tiga tujuh kosong”, dan tidak dapat dipastikan sama ada suara itu milik juruterbang atau pembantu juruterbang.

Panggilan dibuat dari kokpit kepada pengawal trafik udara di Kuala Lumpur semasa pesawat berada di Laut China Selatan dan meninggalkan ruang udara Malaysia, kurang daripada satu jam selepas berlepas.



Penerbangan MH370 dengan 239 orang penumpang dan anak kapal hilang kira-kira sejam selepas berlepas dari Kuala Lumpur, tidak lama selepas tengah malam pada 8 Mac, menuju ke Beijing, di mana ia dijadualkan tiba pada pukul 6.30 pagi, hari yang sama.

Menurut The Telegraph, Geoff Taylor, timbalan pengarang Waikato Times New Zealand, beliau dan pengarang bersama, Ewan Wilson bercakap dengan adik ipar Zaharie, Asuad Khan di Pulau Pinang dan kemudian isteri juruterbang berusia 53 tahun itu.

Asuad pada mulanya mendakwa suara dari kokpit bukan milik Zaharie tetapi selepas memanggil kakaknya di hadapan kedua-dua wartawan, beliau mengesahkan suara itu milik suaminya.

“Dalam tempoh lebih kurang tiga bulan, sejak penerbangan hilang, tiada media berjaya mendapatkan kenyataan daripada isteri Zaharie itu,” kata Taylor yang dipetik oleh The Telegraph.
“Kami bernasib baik berjaya mendapatkan pengesahan daripada dia bahawa Zaharie adalah individu yang berada dalam kokpit.”

Dilaporkan pada Ahad oleh sebuah lagi akhbar UK, The Sunday Times, Zaharie kekal sebagai suspek utama kehilangan pesawat MH370.

Sambil menambah, kegagalan mekanikal atau keganasan tidak dapat diketepikan, akhbar itu berkata polis percaya jika ia tindakan manusia, kapten adalah pelaku yang paling berkemungkinan.
Laporan itu, yang juga disiarkan dalam The Australian, berkata polis cawangan khas Malaysia memberi tumpuan siasatan terhadap Zaharie selepas pemeriksaan perisikan gagal menemui sebarang bukti mencurigakan pada orang lain di dalam pesawat itu.

Laporan memetik seorang jurucakap polis Malaysia berkata: “Siasatan polis masih lagi dijalankan. Setakat ini tiada kesimpulan yang boleh dibuat tentang punca kepada insiden dan ia akan menjadi sub judice untuk berkata demikian. Bagaimanapun, pihak polis masih mencari meneliti semua sudut yang berkemungkinan.”

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menolak laporan The Sunday Times dengan memberitahu media tempatan bahawa “kita tidak perlu melayan teori konspirasi”.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga mengkritik laporan akhbar UK itu, mengulangi bahawa sebarang kenyataan mengenai siasatan ke atas kehilangan penerbangan MH370 akan datang secara langsung daripada pihak polis dan bukan melalui media asing, lapor TMI.

No comments: