Ketarak ni dia tak kira umur korang berapa pun. Tua ke muda, bila-bila masa je dia kena..
Petikan daripada Mahasiswi Universiti Kebangsaan Malaysia
Menurut Dr. Shatriah Ismail, Pensyarah Kanan dan Pakar Oftalmologi, Jabatan Oftalmologi, Pusat Perubatan Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, USM Kelantan. Penyakit selaput mata pada kanak-kanak juga dikenali sebagai penyakit katarak kongenital dalam bahasa perubatan. Katarak kongenital ialah satu keadaan di mana kanta mata yang asalnya bersifat jernih dan lut cahaya telah bertukar menjadi keruh dan keadaan ini dikesan selepas kelahiran. Mereka yang mempunyai sejarah keluarga penyakit ini juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mewarisinya. Katarak kongenital dilaporkan berlaku antara satu hingga enam kes dalam setiap 10,00 kelahiran di Amerika Syarikat. Bagaimanapun tidak terdapat data yang lengkap tentang insiden kes-kes katarak kongenital di negara lain di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan jumlah kes katarak kongenital mungkin dikesan dalam jumlah yang lebih tinggi di negara-negara sedang membangun. Keadaan katarak kongenital yang berlaku pada satu mata sahaja merupakan kes jarang-jarang berlaku.
Pesakit yang mengalami katarak kongenital pada satu mata sahaja biasanya turut mengalami kecacatan kongenital mata yang lain seperti keabnormalan struktur hadapan mata, keabnormalan struktur primer vitreous (gelemaca) dan satu keadaan dikenali sebagai lentikonus posterior. Pesakit yang mengalami masalah katarak kongenital pada kedua-dua belah mata pula biasanya mempunyai sejarah keluarga penyakit katarak kongenital serta beberapa penyakit yang lain. Antaranya ialah kelahiran pramatang dan jangkitan kuman semasa dalam kandungan seperti rubella, syphilis, toxoplasmosis dan herpes. Gangguan metabolik seperti hypoglisemia, hyperglysemia, hypokalsemia dan galaktosemia turut menyebabkan berlakunya penyakit katarak kongenital.
Pesakit yang mengalami penyakit seperti Sindrom Down, Sindrom Edward dan Sindrom Patau juga dilaporkan berisiko mendapat penyakit katarak kongenital.Pesakit kebiasaannya akan mula mengalami kekaburan penglihatan dan silau apabila melihat ke arah cahaya yang terang. Kekaburan penglihatan ini berlaku secara perlahan-lahan dan pesakit berasa seolah-olah ada asap atau kabus di depan mata mereka. Lama kelamaan, penglihatan mereka menjadi semakin kabur, dan jika tidak dirawat mereka boleh menjadi buta. Selain itu, katarak juga boleh berlaku akibat trauma ke atas mata, terutamanya apabila mata seseorang itu menerima hentakan atau tumbukan yang kuat. Antara tanda-tanda awal penyakit ini ialah penglihatan jauh menjadi kabur dan kerap menukar cermin mata. Penyakit ini tidak menyebabkan rasa sakit pada bola mata ataupun menyebabkan bola mata menjadi merah.
Pesakit yang mengalami penyakit katarak pada peringkat yang hampir matang akan mengalami gangguan penglihatan yang ketara terutamanya pada jarak yang dekat. Pesakit akan mengalami kesukaran untuk melihat ketika membaca, menulis dan memandu. Pesakit yang mengalami penyakit katarak matang pada kedua-dua belah mata pula akan mengalami kesukaran untuk menjalani aktiviti harian lain seperti makan, minum dan menjaga kebersihan diri. Warga emas dengan masalah ini sebenarnya akan mengalami waktu yang sangat sukar kerana mereka memerlukan bantuan orang lain sepanjang masa untuk menguruskan diri sendiri. Komplikasi Katarak Matang ialah ia boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang dikenali sebagai glaukoma sekunder. Pesakit yang mengalami keadaan ini biasanya mengalami sakit yang kuat pada bola mata secara tiba-tiba. Bola mata juga menjadi merah dan pesakit mungkin mengalami gejala seperti loya, muntah dan sakit kepala. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh gangguan kepada aliran cecair akuaus di dalam mata yang disebabkan oleh katarak yang matang. Tekanan di dalam bola mata menjadi tinggi dan pesakit perlu menjalani pembedahan kecemasan katarak sekiranya keadaan ini berlaku. Pesakit dinasihatkan supaya menjalani pembedahan katarak mengikut nasihat yang diberikan oleh doktor pakar mata dan tidak bersikap ‘tunggu dulu’ sehingga keadaan glaukoma sekunder ini berlaku.
Potensi pesakit untuk melihat semula selepas pembedahan adalah jauh lebih baik sekiranya pembedahan katarak dilakukan secara elektif dan terancang berbanding pesakit yang hanya menjalani pembedahan setelah mengalami keadaan glaukoma sekunder. Antara rawatan yang boleh dilakukan ke atas penyakit ini ialah pada peringkat awal, menggunakan cermin mata boleh membantu mengembalikan penglihatan. Namun, apabila katarak mula mengganggu penglihatan, pembedahan perlu dilakukan. Kanta yang hilang kejernihan itu perlu dikeluarkan dan diganti dengan kanta tiruan yang dibuat daripada plastik. Pembedahan bagi merawat katarak dibuat dengan melakukan bius setempat sahaja dengan secara ubat titis sahaja. Pesakit akan kekal sedar ketika pembedahan dilakukan. Bagaimanapun, kaedah ini biasanya dilakukan pada pesakit tua sahaja. Bagi pesakit kanak-kanak dan muda, bius am (bius penuh) akan diberikan dan pesakit tidak akan sedar sepanjang pembedahan dijalankan. Pesakit yang dibedah tidak akan berasa apa-apa dan biasanya pembedahan hanya mengambil masa antara 20 hingga 40 minit. Masa sesuai untuk melakukan pembedahan katarak bergantung kepada keadaan pesakit. Bukan semua katarak, terutamanya pada peringkat awal, perlu dibedah. Pembedahan hanya perlu dilakukan jika katarak mengganggu penglihatan dan menjejaskan aktiviti harian seseorang. Kita juga tidak perlu menunggu katarak menjadi 'matang' sebelum dibedah. Fahaman ini adalah konsep rawatan yang diamalkan 50 tahun dahulu ketika teknik pembedahan dilakukan tanpa bantuan mikroskop dan mesin canggih.
Kini, kanta yang tiada masalah katarak juga boleh dibedah untuk merawat masalah mata lain seperti rabun jauh yang teruk. Jadi, pembedahan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa yang difikirkan perlu. Pemulihan selepas rawatan, pesakit kebiasaannya boleh mula bekerja selepas sebulan pembedahan, terutama bagi pembedahan yang memerlukan jahitan. Ini adalah kaedah untuk katarak yang 'matang'. Namun, kini terdapat kaedah rawatan yang tidak memerlukan jahitan dipanggil fako-emulsifikasi. Melalui kaedah ini, katarak dihancurkan dan 'disedut' keluar menggunakan alat khas yang halus. Oleh itu, luka pada mata adalah jauh lebih kecil tanpa jahitan dan lebih cepat sembuh. Pesakit biasanya boleh mula bekerja selepas dua minggu menjalani pembedahan. Bagaimanapun, perlu diingat bahawa kadang kala masalah katarak masih boleh berulang. Bagi sesetengah pesakit, lapisan kulit katarak akan menebal dan menyebabkan kekaburan hanya dapat dirawat menggunakan rawatan laser YAG. Rawatan laser yang sedia ada kini sungguh mudah, selamat, cepat dan tidak memerlukan pembedahan.
Setakat ini tiada langkah pencegahan yang khusus untuk penyakit ini memandangkan puncanya dikenal pasti berlaku akibat peningkatan faktor usia. Bagaimanapun, para penyelidik dan doktor menyarankan pesakit supaya berhenti merokok, mengelakkan pengambilan alkohol dan mengurangkan pendedahan kepada sinar ultraviolet bagi memperlahankan kadar proses katarak berlaku. Pesakit kencing manis dan darah tinggi juga dinasihatkan supaya memastikan tahap kesihatan mereka terkawal dan memuaskan. Berjumpalah doktor pakar mata untuk mendapatkan nasihat sekiranya ibu bapa, kaum keluarga atau warga emas yang anda kenali mengalami tanda-tanda katarak seperti yang dinyatakan. Penyakit ini tidak seharusnya menyebabkan seseorang individu menjalani kehidupan yang kabur dan sukar.
2 comments:
err ngeri + bahaya. jaga lah mata elok2 :D
takut T_T
Post a Comment