Saturday 21 December 2013

Banjir Kilat: 113 Dipindahkan Ke Pusat Pemindahan

Maaf gambar kurang memuaskan

KEMAMAN - Seramai 113 mangsa banjir daripada 23 keluarga di Kampung Labohan, Kemasik terpaksa berpindah ke pusat penempatan banjir akibat banjir kilat awal pagi tadi.
    
Limpahan air dari bukit yang terletak di kawasan berdekatan dengan kampung tersebut akibat hujan yang tidak berhenti-henti sejak malam semalam menyebabkan kawasan perumahan di sekitar kampung itu dinaiki air.
    
Salah seorang mangsa, Che Rohani Senik, 45, berkata dia dan penduduk di kawasan berkenaan terpaksa berpindah ke pusat penempatan banjir akibat air yang naik mendadak sejak jam 4 pagi.
    
"Hujan tak berhenti dari semalam, memang mak cik bimbang...tapi tak sangka pulak air naik begitu cepat," katanya di Dewan Orang Ramai Kampung Labohan di sini hari ini.
    
Seorang lagi mangsa, Nor Azizah Mohd Ali, 32 berkata beliau agak terkejut dengan kejadian yang berlaku dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang kerana terlalu panik.
    
Tinjauan Bernama mendapati ada antara kawasan rumah yang dinaiki air sehingga satu perpuluhan lima meter menyebabkan sebahagian peralatan rumah serta perabot gagal diselamatkan.
    
Sementara itu Adun Kemasik, Ir Rosli Othman yang juga Pengerusi Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri berkata semua keperluan mangsa banjir di pusat pemindahan berkenaan telah dihantar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pagi tadi. - Bernama

No comments: