Sunday 15 December 2013

"Saya Bukan Robin Hood, Saya Memang Nak Tolong Mangsa Banjir” – Mad Said



KUALA TERENGGANU - "Saya bukan Robin Hood." Demikian tegas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said ketika merujuk gelaran yang diberi oleh masyarakat kepada beliau, susulan tindakannya menahan dua buah lori yang membawa roti Gardenia dan mengagih roti itu kepada pengguna jalan raya yang terperangkap akibat banjir di Chendor, Pahang baru-baru ini.
   
Katanya perbuatan 'Robin Hood' merompak untuk membantu orang miskin tetap salah walaupun niatnya murni.
   
"Yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar, jadi tak perlulah umpamakan saya seperti Robin Hood," katanya semasa menggulung perbahasan bajet negeri, di persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
   
Tindakan Ahmad pada 4 Disember lalu mendapat pujian orang ramai dan berita serta gambar beliau mengagih roti terbabit tersebar luas menerusi media sosial sehingga ada yang menggelarkannya Robin Hood.

Menurut laman ensiklopedia Wikipedia, Robin Hood merupakan penjenayah yang diangkat sebagai hero dalam cerita rakyat masyarakat Inggeris kerana dia menyamun dan merompak golongan kaya untuk membantu orang miskin yang tertindas.
    
Sementara itu, Ahmad ketika mengulas kejadian pada hari berkenaan, berkata pengguna jalan raya yang terkandas mengadu kepadanya mereka tiada bekalan makanan.
   
"Bayangkanlah, ramai yang datang kepada saya dan beritahu anak mereka menangis kelaparan akibat terkandas setelah laluan Kemaman-Kuantan ditutup akibat dinaiki air.
   
"Pada mulanya, pemandu itu enggan membuka lori tapi bila saya menghubungi pengurusnya dan sedia membayar harga kesemua roti itu, barulah pemandu berani membukanya dengan disaksikan orang ramai," katanya.   
   
Ahmad turut memberitahu persidangan bahawa syarikat roti itu kemudian enggan menerima bayaran dan menganggap roti tersebut sumbangan mereka kepada mangsa banjir. - Bernama

2 comments:

Nadia Johari said...

bagus tu..tolong orang yang dalam kesushan..nsib die call pengurus roti tu..kalau tak memang dianggap mencuri dan kalau die bagi kat org pun maknan tu tak halal

TelingaBulat said...

nasib die bertindak dgn bijak